KUALA LUMPUR – Baru-baru ini lebih 2,000 dalam kalangan masyarakat India telah memberi tepukan gemuruh kepada Timbalan Perdana Menteri pada Majlis Ponggal Perpaduan 2024.
Ini selepas melihat kesungguhan dan komitmen Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam berterusan memperkasakan komuniti minoriti sejak dulu lagi.
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Ahmad Zahid, Arvend Applasamy berkata, peranan yang dimainkan oleh bosnya tidak dapat dinafikan lagi kerana sentiasa bersedia berdamping serta menyantuni komuniti India tempatan.
“Minggu lepas, Ahmad Zahid sekali lagi menerima penghormatan standing oviation daripada sejumlah besar komuniti India selepas berhasil menyumbang 200 peranti untuk kegunaan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari golongan B40. Komitmen beliau dalam perjuang nasib kaum ini tidak boleh dipertikai langsung.
“Pemberian 200 peranti itu pada sambutan Pongal sememangnya memberi signifikan bukan sahaja hari yang penting buat kami kerana ia sarat dengan tradisi dan kebudayaan sebaliknya memberikan bantuan sangat bermakna.
“Ini bukan sekadar program sahaja sebaliknya setiap yang dilaksanakan perlu memberikan impak besar dan positif, itu juga matlamat beliau. Beliau amat gembira apabila yang hadir pada hari itu adalah dalam kalangan pelajar-pelajar universiti, peluang menyantuni mereka dan mendengar sendiri keluh kesah.
“Selain itu, ramai dalam kalangan pimpinan politik berlainan selain NGO juga hadir untuk bertemu dengan beliau dengan pelbagai isu serta perancangan membabitkan kaum India di negara, beliau ambil peluang dengar semuanya,” katanya.
Antara pimpinan yang hadir termasuklah Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta lain-lain.
Dalam pada itu, kata Arvend,, Ahmad Zahid pada majlis berkenaan turut menekankan kepentingan untuk memberi tumpuan dan peluang kepada generasi muda India dalam menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi.
“Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara mahu TVET digunakan bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan komuniti India melalui pendidikan selain membantu mengatasi masalah sosial dalam kalangan masyarakat tersebut,” ujarnya.
Selain itu, katanya, antara fokus Ahmad Zahid termasuklah komitmen kerajaan dalam menangani kemiskinan bandar.
Jelas Arvend, untuk mengatasi kemiskinan tidak hanya sokongan kewangan semata-mata tetapi penstrukturan seperti semula kedudukan ekonomi melalui pendidikan.
“Bak kata Datuk Seri, bidang pendidikan dan perniagaan untuk komuniti masyarakat India amatlah penting. Untuk atasi kemiskinan tidak boleh hanya beri wang sahaja dari masa ke semasa sebaliknya perlu struktur semula kedudukan ekonomi melalui pendidikan.
“Di sebalik cabaran ekonomi yang dihadapi negara, kerajaan tetap memberi perhatian terhadap kaum itu yang merupakan komponen penting dalam kemajmukan masyarakat Malaysia,” ujarnya.
Sebelum ini Ahmad Zahid pernah berkata, biar pun masyarakat Melayu dan bumiputera amat terkesan, usaha-usaha untuk melayani semua (kaum) di negara ini mesti terus dipertingkatkan dan kaedah terbaik adalah melalui pendidikan. – MalaysiaGazette