KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah dengan penahanan 10 ahli sindiket di kawasan Jalan Syed Putra di sini pada Rabu lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan, Norhisham Mustapar berkata, ia ekoran Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Brickfields melancarkan serbuan di kawasan terbabit.
Dalam serbuan itu, pihaknya merampas 432 gram pil eramin, 5,420 gram ganja, 254 gram methamphetamine dan 326 gram heroin.
“Hasil saringan awal air kencing dapati enam suspek positif dadah manakala empat suspek lagi negatif.
“Pihak polis juga merampas beberapa aset sindiket untuk tujuan sitaanRM 17,600, sebuah keretaPerodua Axia, motosikal Y15ZR dengan nilai keseluruhan rampasan dadah RM81,196,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Norhisham, nilai keseluruhan rampasan sitaan berjumlah RM55,400 manakala nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM136,596.
“Pihak BSJND IPD Wangsa Maju, masih menjalankan siasatan untuk mendapatkan punca bekalan dadah diperoleh.
“Suspek direman selama enam hari sehingga 30 Januari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Beliau menambah, jumlah keseluruhan rampasan dadah itu mampu menampung seramai 2,500 penagih dadah dalam satu masa.
Sehubungan itu, katanya, polis Kuala Lumpur berharap agar orang ramai dapat menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang supaya tindakan dapat diambil dengan segera. – MalaysiaGazette