Tun Mahathir dan Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri enggan memberi sebarang ulasan berkaitan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebaliknya Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada budi bicara dan siasatan SPRM.

“Saya tidak mahu beri komen. Saya serahkan kepada pihak berwajib untuk menyiasat,” katanya ringkas kepada media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun 60 Zoo Negara di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa hari lepas Dr Mahathir menyifatkan siasatan dan arahan terhadap anaknya, Mirzan untuk mengemukakan sumber aset yang diperoleh sejak 42 tahun dalam tempoh masa 30 hari adalah ‘tidak masuk akal’.

Pada 18 Januari lepas, media melaporkan SPRM telah menyerahkan satu perintah notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Mirzan, yang mengkehendaki anak bekas perdana menteri itu mengisytiharkan aset alih dan tidak alih dalam pegangannya dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.

Selepas Mirzan disiasat SPRM minggu lalu, seorang lagi anak Dr Mahathir, Tan Sri Mohkzani pula dipanggil SPRM untuk disiasat semalam.

Turut dikritik bekas Perdana Menteri itu ialah siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin oleh SPRM.

Daim pula akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Isnin ini atas pertuduhan sama yang dikenakan terhadap isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid iaitu mengikut Seksyen 36(2) Ata SPRM 2009 kesalahan tidak mendedahkan aset. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast