Dua mayat terakhir iaitu seorang lelaki dan seorang wanita mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley di sini berjaya ditemukan petang tad

CAMERON HIGHLANDS – Dua mayat terakhir iaitu seorang lelaki dan seorang wanita mangsa insiden tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley di sini berjaya ditemukan petang tadi.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Azri Ramli berkata kedua-dua mayat dijumpai berdekatan antara satu sama lain pada jarak 5 meter.

“Mayat keempat ditemukan ketika pencarian dilakukan menggunakan jentera berat berantai pada 6.10 petang manakala mayat terakhir dijumpai ketika penggalian secara manual pada 6.50 petang,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Bomba di lokasi bencana itu hari ini.

Beliau berkata mangsa keempat dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dan mangsa kelima yang juga seorang wanita ialah Om Myu, 37, manakala mangsa ketiga yang dijumpai pada tengah hari tadi dikenal pasti sebagai Thang Moung, 25.

Azri berkata kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajah Kalsom Cameron Highlands untuk tindakan lanjut.

Azri berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan kehilangan individu lain dan operasi ditamatkan setelah mayat kelima berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian.

Beliau turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk 250 anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan tugas dengan baik serta teratur walaupun berdepan cabaran bentuk muka bumi dan cuaca tidak menentu di lokasi kejadian.

Terdahulu, lima warga Myanmar termasuk seorang wanita yang merupakan pekerja ladang sayur tertimbus selepas rumah dihuni mangsa terlibat dalam insiden tanah runtuh pada kira-kira 2.40 pagi semalam. – BERNAMA