KUALA LUMPUR – Seramai 108 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan pihak berkuasa di Pasar Harian Selayang di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua mereka ditahan menerusi Operasi Khas Op Taring 2 yang dilancarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, gerakan bermula pukul 3 pagi dengan kekuatan 465 pegawai dan anggota yang turut dibantu Jabatan Imigresen dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Seramai 213 warga asing yang berada di sekitar kawasan pasar harian berkenaan diperiksa.
“Hasil saringan yang dibuat, polis menahan 104 lelaki dan empat wanita PATI terdiri 52 warga Indonesia, 35 warga Myanmar, 12 warga India, tujuh warga Bangladesh dan masing-masing satu warga Pakistan dan Nepal.
“Kesalahan adalah tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal melebihi masa dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Allaudeen berkata, operasi berkenaan bertujuan membanteras pelbagai jenayah di kawasan sekitar Pasar Harian Selayang, terutama membabitkan PATI.
Selain itu, katanya, operasi turut memfokuskan kepada pembanterasan sebarang aktiviti tidak sihat di kawasan berkenaan.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada polis.
Semua tangkapan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi masa dibenarkan.
Allaudeen memberi jaminan, pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian dari semasa ke masa. – MalaysiaGazette