PASIR PUTEH – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan kira-kira 150,000 hektar kawasan tanaman padi di seluruh negara menggunakan amalan SMART Sawah Padi Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan menjelang 2030.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah keluasan itu meliputi satu pertiga daripada kawasan penanaman padi seluruh negara yang dianggarkan seluas 600,000 hektar.
“Bulan depan saya akan ke Sarawak, antaranya akan berbincang dengan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) secara umum dan hal-hal lain untuk jadikan (Sabah) dan Sarawak sebagai negeri Jelapang Padi kedua.
“Kalau di Kedah kita ada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang memainkan peranan, manakala di Kelantan ada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), di Sabah dan Sarawak pula kita akan adakan yang semacam ini untuk menjadikannya sebagai Jelapang Padi kedua di Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Projek SMART SBB Ala Sekinchan di Bendang Tok Ajam di sini hari ini.
Mohamad berkata RM10 juta diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak untuk meneroka tanah menjadi Jelapang Padi bagi mencapai hasrat sebagai antara negara pengeluar padi dunia menjelang 2030.
“Pengenalan amalan Program SMART SBB Ala Sekinchan mampu mengembangkan tanaman padi di Sabah dan Sarawak hingga boleh mencapai padi beras untuk dieksport.
“Kita perlu hasilkan hingga mencapai tujuh tan metrik per hektar, ia syarat minimum untuk capai padi beras eksport. Sekarang ini kita cuma dapat bawah lima tan metrik per hektar,” katanya.
Beliau berkata di Kedah, tujuh tan metrik per hektar kini telah meningkatkan kepada 11 tan metrik per hektar, manakala di Pasir Puteh, Kelantan pula pada masa ini hanya empat tan metrik per hektar disasarkan hingga tujuh tan metrik untuk menjadi padi beras eksport.
Menurut Mohamad dengan jumlah minimum tujuh tan metrik per hektar dapat dihasilkan, maka Malaysia akan menjadi pengeskport beras dengan keluasan tanah yang ada, selain hasil meningkat lebih tinggi dengan menggunakan amalan moden berkenaan. – BERNAMA
Kami petani dari kota Belud,Sabah menyokong penuh usaha kerajaan ini..semoga petani² DPT manfaat dan memajukan sektor pertanian.