Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 JANUARI 2024.

IPOH – Keikhlasan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mampu memastikan kemenangan kedua-dua parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keikhlasan yang wujud selepas BN dan PH bekerjasama dalam membentuk kerajaan dilihat mampu memacu kedua-dua parti ke arah kejayaan.

“Saya sering mengingkatkan diri saya bahawa memperoleh kejayaan sukar, tetapi mempertahankan kejayaan itu lebih sukar.

“Di peringkat nasional kita disokong oleh 153 Ahli Parlimen dan kita jangan pernah berada dalam zon selesa, jadi kita mesti mempertahankannya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak di Casuarina@Meru di sini, pada Ahad.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga turut yakin bahawa jumlah sokongan Ahli Parlimen yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus bertambah.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan perasmian penutup pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 JANUARI 2024.

Ujar beliau, perkara berkenaan akan memastikan Kerajaan Madani terus kukuh diperingkat nasional dan juga negeri.

“Bila kita sebut soal keikhlasan di Perak PH menang 24 kerusi namun mereka memberi mandat kepada BN untuk menjadi Menteri Besar Perak dan begitu juga di Pahang di mana PH menyokong BN.

“Jika ia boleh dipertahankan dan jika akar umbi terus bergerak dan bekerja untuk menentukan dokongan terus kepada kita, InsyaAllah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani akan mempertahankan Kerajaan Perpaduan di Perak,” katanya.

Mengulas mengenai Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak, Ahmad Zahid berkata, beliau amat teruja melihat sokongan yang diberikan pelbagai peringkat BN dan PH.

“Kalau inilah semangat yang akan terus diperlihatkan oleh kepimpinan negeri, bahagian, kawasan dan akar umbi InsyaAllah PRU 16 PH dan BN akan jadi kerajaan semula di Perak,” katanya. – MalaysiaGazette