Datuk Allaudeen Abdul Majid.

KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang untuk menyertai acara lambaian kasih bersempena Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, mereka yang ingin menyertai acara yang akan berlangsung di sepanjang Jalan Parlimen hingga ke arah bulatan Dato Onn, di sini, dinasihatkan datang awal berikutan penutupan jalan tersebut.

Katanya, orang awam boleh meletakkan kenderaan mereka di sekitar Taman Botani, parkir bertingkat di Bukit Aman, parkir di Padang Merbok dan parkir di bawah Dataran Merdeka.

“Bagi Program Lambaian Kasih, pasukan pelambai seramai 3,650 orang yang terdiri dripada penjawat awam pelbagai agensi akan diturunkan di Jalan Parlimen dan diatur di kedua-dua bahu Jalan Parlimen ke arah bulatan Dato Onn.

“Manakala, orang awam yang ingin bersama-sama ke acara berkenaan pula perlu mematuhi arahan kawalan lalu lintas oleh pihak polis khususnya anggota trafik yang bertugas mengawal lalu lintas dan tidak menghalang jalan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah beliau, seramai 91 anggota trafik akan ditempatkan di lokasi terbabit bagi mengawal lalu lintas dan memastikan kelancaran acara tersebut.

Sementara itu, Allaudeen memberitahu, sebanyak tujuh laluan akan ditutup penuh manakala 13 lagi laluan akan ditutup secara berperingkat bermula esok sempena istiadat keberangkatan balik YDPA.

Katanya, Jalan Parlimen sehingga ke arah bulatan Dato Onn akan ditutup sepenuhnya seawal jam 6 pagi.

“Bagi tujuh laluan lain akan ditutup sepenuhnya bermula jam 9 pagi dan akan dibuka secara berperingkat sejurus selepas selesai lambaian kasih dan juga keberangkatan Al-Sultan Abdullah ke Balai Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Laluan yang terlibat dalam penutupan ialah Jalan Damansara ke arah Jalan Parlimen (dari arah Istana Lama) dan Jalan Sultan Abdul Halim ke arah Jalan Parlimen,” ujarnya.

Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Parlimen, Jalan Kuching ke arah bulatan Dato’ Onn, Jalan Salahudin ke arah bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching/Jalan Sultan Ismail ke arah bulatan Dato’ Onn dan Jalan Tun Perak ke arah bulatan Dato’ Onn turut ditutup.

Allaudeen berkata, jalan yang terbabit dengan penutupan sementara bermula pada 9 pagi dan dibuka secara berperingkat adalah Lebuhraya Sultan Iskandar ke arah Jalan Damansara, Jalan Travers ke arah Jalan Damansara (dari arah Muzium Negara) dan Jalan Sultan Hishamuddin ke arah Jalan Damansara (dari arah Bulatan Hishamuddin).

Jalan Tun Sambathan ke arah Jalan Damansara, Jalan Syed Putra ke arah Jalan Istana, Jalan Dewan Bahasa ke arah Jalan Istana, Jalan Sungai Besi ke arah KL-Seremban Expressway dan Lingkaran Tengah/ Jalan Connaught dari arah Lebuhraya Syed Putra.

New Pantai Expressway (NPE) dari arah Pantai Dalam, Maju Expressway dari arah Tol Salak South, KESAS Highway dari arah Sungai Besi, KESAS Highway dari arah KL/Seremban Expressway dan SUKOM Interchange ke arah KESAS Highway. -MalaysiaGazette