KUALA LUMPUR – Sejak pagi tadi ada desas-desus khususnya dalam kalangan penyokong Datuk Seri Najib Razak yang optimis mengenai kemungkinan ada khabar baik berkaitan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Malah kebanyakan yang ditemui ketika sambung bicara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini membabitkan penyelewengan dana lebih RM2.3 bilion di Mahkamah Tinggi di sini yakin ada sesuatu yang berlaku pada sebelah petang.
Namun nampaknya mereka kecewa hari ini.
Peguam utama pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pun menafikan beliau ada maklumat berkaitan mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikatakan akan diadakan hari ini.
Kata beliau, pihaknya tidak dimaklumkan tentang perkara itu dan tidak tahu mengenainya.
Prosiding bersambung seperti biasa tanpa sebarang insiden luar biasa berlaku di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sekitar pukul 2.45 petang.
Najib yang tiba sekitar pukul 1.45 petang kelihatan tenang dan sempat melambai dan senyum kepada penyokongnya.
Saksi ke-49, Nur Aida Arifin yang merupakan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambung memberi keterangan pada prosiding hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan membincangkan tentang isu pengampunan tersebut.
Difahamkan mesyuarat berkenaan menjadi mesyuarat rasmi terakhir bagi Al Sultan Abdullah sebelum pemerintahan baginda berakhir esok dan kembali sebagai Sultan Pahang.
Seorang pengikut Najib yang enggan dikenali rasa kecewa kerana rata-rata mereka sudah mula berkongsi ‘berita baik’ di laman sosial.
Mereka kata kemungkinan besar akan ada pengampunan buat bekas Presiden UMNO itu.
“Memang kecewa kerana kita harap adanya keajaiban pada saat-saat akhir. Isu pengampunan ini kita sudah lama menanti, Agong juga akan bertukar namun tidak ada apa-apa positif seperti yang diperkatakan. Kita sudah tunggu sejak pagi ini,” ujarnya.
Ketika ini, Najib sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette