POlis membawa mayat wanita warg Indonesia yang ditemui dalam keadaan cedera di tepi lif kondominium desa Mentari Petaling Jaya pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita asing ditemukan maut dengan kesan kecederaan di badan di tepi tangga lif di tingkat lima Blok 5, Perumahan Kondominium Desa Mentari, Petaling Jaya hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat itu sepasukan anggota bergegas ke lokasi insiden dan sebaik tiba di tempat kejadian polis menemui seorang wanita dianggarkan berusia awal 20-an dalam keadaan berlumuran darah di tepi tangga lif perumahan itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kecederaan yang dialami wanita itu tidak dapat dipastikan lagi dan masih menunggu pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk menjalankan siasatan.

“Setakat ini suspek melakukan perbuatan itu masih belum dikenalpasti dan kita meminta mana-mana orang awam sekitar perumahan ini yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, berikutan kejadian itu polis akan membuat pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

“Kita juga akan merakam keterangan awam bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian jenayah ini,” ujarnya. -MalaysiaGazette