KUALA LUMPUR – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menggesa agar cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan logistik ditangguhkan dahulu sementara menunggu kajian selanjutnya untuk mengurangkan impak ke atas pengeluar dan orang ramai.
Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata, persatuan itu mengambil kira kebimbangan terhadap kenaikan cukai perkhidmatan terutamanya ke atas perkhidmatan logistik yang membebankan kerana ia akan memberi kesan terhadap semua perkhidmatan di sepanjang rantaian bekalan logistik.
Belanjawan 2024 mengumumkan kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus bagi perkhidmatan bercukai (tidak termasuk perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta) dan pengembangan skop memasukkan perkhidmatan logistik (selain ejen penghantaran, kurier, pengangkutan udara dan pergudangan) pada kadar enam peratus berkuat kuasa 1 Mac, 2024.
“Kami memahami bahawa Kementerian Kewangan (MoF) sedang menimbang untuk memberikan pengecualian cukai perniagaan kepada perniagaan (B2B) kepada penyedia perkhidmatan yang menyediakan perkhidmatan logistik yang serupa untuk memastikan tiada cukai dikenakan sesama mereka tetapi hanya kepada pengguna akhir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
FMM mengesyorkan agar gelembung cukai (B2B) yang diberikan kepada penyedia perkhidmatan logistik diperluaskan ke sektor perkhidmatan dan pembuatan supaya sebarang perniagaan dengan nombor lesen cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tidak dikenakan cukai jualan atau perkhidmatan.
“Ini bermakna hanya perniagaan borong, runcit dan pengguna akhir atau perniagaan SST tidak berdaftar akan membayar SST.
“Kami sedar bahawa cadangan kami memerlukan kajian lanjut dan pindaan terhadap undang-undang seperti menyokong Akta dan Peraturan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan atau merangka perundangan tambahan untuk menyokong pengecualian cukai B2B antara pengeluar dan penyedia perkhidmatan,” kata Soh.
Sehubungan itu, FMM meminta agar cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan logistik ditangguhkan untuk mengkaji lebih lanjut mekanisme pengecualian bagi membantu pengeluar mengurangkan beban cukai.
“Memandangkan cukai perkhidmatan ke atas logistik memberi kesan bukan sahaja kepada operasi pembuatan tetapi keseluruhan rantaian bekalannya, kami menghargai sekiranya kerajaan dapat terus berunding dengan industri untuk menangani semua kebimbangan berbangkit dan memperkenalkan mekanisme pengecualian yang berkesan sebelum pelaksanaan percukaian dimuktamadkan,” katanya.
Soh berkata FMM dimaklumkan bahawa kerajaan sedang menimbang untuk memberikan pengecualian cukai perkhidmatan logistik hanya bagi eksport susulan sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan pada 5 Dis, 2023.
“Walaupun kami mengalu-alukan cadangan ini untuk memberikan pengecualian bagi eksport, namun penting agar pengecualian cukai perkhidmatan diberikan untuk semua transaksi perdagangan termasuk import memandangkan ciri-ciri pembuatan dan perdagangan serta sumber material yang tersedia,” katanya. – BERNAMA