IMBAS KEMBALI.Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyanyi bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza (kanan) pada Majlis Malam Amal Bakasa dan Bakat Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa bangga dan junjungan kasih ke atas pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Siti, 45, yang juga merupakan anak jati kelahiran Pahang turut bersyukur kerana ‘dipayungi’ seorang raja yang prihatin dan sentiasa merendah diri.

“Menjunjung kasih Tuanku. Terima kasih di atas pemerintahan Tuanku selama lima tahun dan bakal dirindui oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Cara Tuanku berdua mendekati rakyat, sentiasa prihatin dan kerendahan diri telah meninggalkan rasa kasih sayang mendalam rakyat,” tulisnya.

Dalam ucapan itu juga, Siti turut mendoakan kesejahteraan dan mengucapkan selamat berangkat atas kepulangan Tuanku dan Raja Permaisuri ke negeri Pahang.

“Menjunjung kasih Tuanku. Selamat berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur. Sebagai anak jati negeri Pahang, patik sangat berbangga dan bersyukur mempunyai seorang raja yang berjiwa rakyat.

“Semoga Tuanku berdua sentiasa di dalam lindungan Allah SWT,” katanya.

Hari ini, Istana Negara meraikan Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke negeri Pahang selepas baginda menamatkan tempoh lima tahun pemerintahan sebagai yang di-Pertuan Agong ke-16.

Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan memasuki Istana Negara pada 31 Januari 2019.

Al-Sultan Abdullah akan digantikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 selama tempoh lima tahun bermula esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast