Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly.

KOTA KINABALU – UMS terus memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi universiti dalam langkah menyahut amanat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang menetapkan Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi sebagai antara lima fokus utama dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi 2023-2025.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata, langkah tersebut akan dilaksanakan melalui inisiatif awal dengan mengadakan sesi Townhall bersama warga pensyarah dan penyelidik UMS.

Menurut beliau, sesi itu bertujuan untuk menyampaikan pelan strategik awal yang dirangka oleh pusat-pusat di bawah portfolionya.

“Inisiatif ini adalah bagi mengukuhkan penyelidikan dan inovasi ke arah mencapai sasaran yang diterapkan melalui Bidang Keberhasilan Utama (KRA) ke-3 UMS yang bertemakan Translatable Research.

“Salah satu agenda utama yang akan diketengahkan adalah dalam mengukuhkan governan pusat-pusat kecemerlangan penyelidikan di UMS.

“Ini agar selari dengan inisiatif Kluster Penyelidikan dan Inovasi UMS yang menekankan konsep penyelidikan multidisiplin yang berfokus melalui jaringan kerjasama pelbagai entiti agar memberi impak kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya, sesi townhall yang akan dijalankan secara interaktif itu diharapkan dapat menjadi platform kepada para pensyarah dan penyelidik UMS untuk lebih memahami pelan tindakan yang dicadangkan kepada kesemua fakulti dan pusat.

Tambah beliau, pada masa yang sama, sasaran pencapaian penyelidikan dan inovasi yang dipinda pada hujung tahun 2023 baru-baru ini melalui MyRA (Malaysia Research Assessment) juga akan disampaikan ke akar umbi.

Rosalam berkata, langkah tersebut memastikan keseluruhan warga universiti akan bersama-sama dalam menggalas tanggungjawab bagi mengukuhkan penyelidikan dan inovasi UMS, sekali gus meningkatkan keterampilan universiti.

Menurutnya, lebih 800 pensyarah dan penyelidik dianggarkan menyertai dalam sesi tersebut.

“Sebuah e-katalog Kluster Penyelidikan dan Inovasi UMS oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan akan dilancarkan bersempena Townhall ini.

“Turut akan dilancarkan sistem University Press Conference kelolaan Penerbit UMS manakala Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains akan melancarkan Online Booking Analysis Services,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast