Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selamat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang sebelum berangkat ke Istana Negara bagi Istiadat Keberangkatan Tiba Sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 ketika di Subang, Shah Alam. Foto JABATAN PENERANGAN, 31 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ketaatan dan kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Anwar dalam ucapan tahniah ke atas pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 turut mendoakan kesejahteraan baginda, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dan kerabat diraja.

“Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.

“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Duli Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan. Daulat Tuanku!” kata Anwar dalam kenyataan.

Sultan Ibrahim selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.

Mesyuarat khas itu dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada istiadat itu juga, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah turut mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 semalam. – MalaysiaGazette