Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa sidang media di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 31 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet hari ini memutuskan untuk meneruskan pembekuan kuota permohonan dan kelulusan bagi pengambilan pekerja asing, kata Menteri Dalam Negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kabinet mengambil pendekatan tersebut kerana mendapati tiada keperluan untuk menarik balik arahan pembekuan kerana jumlah kuota sedia ada yang diluluskan sudah mencukupi.

“Jemaah Menteri juga bersetuju menubuhkan pusat sehenti (untuk mempercepatkan proses kelulusan permohonan pekerja asing).

“Agensi yang mengetuainya akan berada di bawah Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam sidang media khas di sini petang tadi.

Malah Saifuddin Nasution menegaskan, memorandum persefahaman (MoU) dengan negara sumber yang membekalkan pekerja asing juga akan disemak semula.

“Jemaah Menteri bersetuju untuk menyemak semula proses dengan 15 negara sumber ini. Bagaimanapun, kita akan memberi keutamaan pada tiga negara iaitu Nepal, Bangladesh dan Indonesia kerana mereka menyediakan kira-kira 77 peratus daripada pekerja asing di negara ini,” katanya lagi.

Dalam sidang media sama, Saifuddin Nasution juga berkata, kerajaan akan melaksanakan Program Repatriasi Migran bermula 1 Mac depan.

Langkah itu bagi memudahkan penghantaran pulang warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan di negara ini oleh Jabatan Imigresen.

“Mereka ini akan dibenarkan pulang selepas ini setelah mereka bayar kompaun akan dikecualikan daripada proses pendakwaan.

“Program ini bersifat pengampunan pulang yang kita akan hebahkan supaya diguna pakai mereka yang terlibat utk memudahkan penghantaran pulang,” katanya.

Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata sebelum itu, mereka dikompaun bagi kesalahan-kesalahan imigresen yang dilakukan termasuk memasuki Malaysia tanpa dokuman, melanggar syarat dan tinggal lebih masa.

Kompaun maksimum RM500 dikenakan bagi setiap kesalahan imigresen yang dilakukan.

Untuk rekod, program Rekalibrasi Tenaga Kerja tamat pada 31 Disember tahun lalu yang memberi peluang kepada majikan untuk memohon pekerja asing tanpa izin bagi mengisi keperluan tenaga kerja. – MalaysiaGazette