Gelagat pelajar sekolah menunggu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Lambaian Kasih dalam Istiadat Keberangkatan Tiba Sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-17 ke Istana Negara ketika di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 31 JANUARI 2024.

JOHOR BAHRU – Ribuan pelajar di Johor Bahru teruja menunggu konvoi keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di sepanjang Jalan Skudai pagi ini.

Konvoi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai itu yang berlepas dari Istana Bukit Serene pada pukul 7.45 pagi tiba di Kampung Pasir pada pukul 8.05 pagi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Senai, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indah Pura, Sekolah kebangsaan (SK) Senai Utama berada di laluan utama, di sini, seawal pukul 6.30 pagi.

Kemeriahan di kawasan itu dapat dilihat dengan kibaran bendera Johor selain laungan ‘Daulat Tuanku’ bergema sebaik kenderaan yang membawa Sultan Ibrahim melalui laluan tersebut.

Pelajar SJKC Senai, Naufal Nur Iman Abdullah,12, berkata, beliau tidak sabar untuk menyaksikan keberangkatan sultan kesayangan rakyat Johor itu.

Naufal Nur Iman Abdullah

“Saya gembira sangat walaupun saya perlu bangun awal tetapi saya teruja sangat,” katanya.

Nurin Fateha Zulkefli, 12, memberitahu, ini merupaka kali pertama beliau tidak sabar melihat Sultan Johor dari jarak dekat.

Nurin Fateha Zulkefli

“Saya tidak sabar untuk melihat tuanku Sultan,” ujarnya.

Sementara itu, Moses Lee, 11, berkata, beliau berkumpul di perkarangan sekolah seawal jam 6 pagi untuk menaiki bas yang disediakan pihak sekolah.

Moses Lee

Tambah pelajar itu, walaupun tidak berasa letih dan tetap bersemangat untuk menyertai Lambaian Kasih walaupun terpaksa bangun lebih awal daripada biasa.

“Bila cikgu cakap ada sultan saya teruja, sebab itu saya datang,” ujarnya.

Sultan Ibrahim berangkat ke Istana Negara, Kuala Lumpur hari ini bagi menyempurnakan Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Baginda berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira pukul 9 pagi. – MalaysiaGzette