Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Ibu Pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 31 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri mengesahkan Mesyuarat Kabinet hari ini ada membincangkan mengenai permohonan pengampunan diraja bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan kepada jemaah Kabinet namun tidak memperincikan mengenai pengumuman pengampunan Najib.

“(Kabinet) Dimaklumkan sepintas lalu tapi bukan Kabinet punya bidang kuasa.

“Lembaga Pengampunan di bawah Perlembagaan mengatakan ia di bawah bidang kuasa siapa, keanggotaannya bagaimana jadi kita bincang tapi kita faham ini di bawah bidang kuasa lembaga tersebut,” katanya dalam sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri petang ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian menjawab pertanyaan MalaysiaGazette samada mesyuarat Kabinet hari ini ada membincangkan mengenai permohonan pengampunan Diraja Najib.

Ditanya mengenai pihak mana yang akan membuat pengumuman mengenai status permohonan pengampunan itu, beliau bagaimanapun tidak menjawabnya.

“Oleh kerana bukan bidang kuasa saya, saya tidak boleh jawab. Saya tidak boleh cakap bagi pihak lembaga,” katanya lagi.

Isu pengampunan Najib menarik perhatian media apabila terdapat desas-desus bahawa Najib telah menerima pengampunan diraja bagaimanapun berita tersebut ditarik balik.

Bagaimanapun, Channel News Asia (CNA) melaporkan hari ini hukuman penjara 12 tahun Najib atas tuduhan rasuah dikurangkan kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan selepas mesyuaratnya semalam.

Media Singapura itu melaporkan, keputusan lembaga pengampunan itu yang diketuai Yang di-Pertuan Agong juga termasuk pengurangan denda RM210 juta (AS$44.4 juta) kepada jumlah yang tidak ditentukan, menurut tiga sumber berasingan yang bercakap dengan syarat kerahsiaan ketat. – MalaysiaGazette