Gambar hiasan

AMPANG – Seorang pereka dalaman cedera dibelasah suaminya dalam pertengkaran di kediamanan mereka di Pandan Perdana, di sini, Isnin lalu, gara-gara tidak membantu kerja rumah.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa seorang wanita tempatan kira-kira jam 9.30 malam.

“Siasatan awal mendapati suspek dalam pertengkaran itu telah bertindak merosakkan komputer riba milik isterinya dan telah memukul pengadu sehingga mendatangkan kecederaan di bahagian tangan kanan.

“Siasatan lanjut polis mendapati punca utama yang menyebabkan suspek mencederakan mangsa adalah kerana pengadu tidak membantunya membuat kerja rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Azam, bertindak atas laporan itu, pada kira-kira jam 6.20 petang semalam sepasukan polis dari BSJD Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 36 tahundi Pandan Perdana.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas suspek yang tidak bekerja didapati negatif dadah serta tiada rekod lampau.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 2 Februari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga merujuk kepada kesalahan boleh tangkap.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman pemenjaraan sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seksyen 427 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan khianat memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. – MalaysiaGazette