Anwar pada Program Sepetang Perdana Menteri bersama Penggerak MADANI Negeri Sembilan di Ulu Sepri hari ini. - Foto BERNAMA

REMBAU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja-Raja menyokong langkah kerajaan mempertingkat tatakelola membersihkan negara daripada amalan rasuah.

Anwar berkata, beliau menyeru semua pemimpin serta penjawat awam agar bersama-sama memerangi rasuah dan menjadikan Malaysia sebagai contoh untuk meningkatkan martabatnya sebagai negara yang hebat.

“Pagi tadi saya menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Baginda sealiran dan mahu menyokong langkah-langkah peningkatan tatakelola untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah.

“Saya fikir ini kesempatan yang baik, saya ingin menyeru semua penjawat awam memberikan khidmat sebaik mungkin. Saya yakin Malaysia diangkat kalau kita gunakan dasar yang betul dan bersihkan daripada amalan bobrok,” katanya ketika berucap pada Program Penggerak MADANI Negeri Sembilan yang disertai Ketua-Ketua Jabatan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Perdana Menteri juga berkata, negara ini tidak mengizinkan kuasa serta sistem pemerintahan dijadikan kesempatan untuk memunggah kekayaan dan perkara itu perlu dinoktahkan sebagai pengajaran.

“Pemimpin seharusnya memikul tanggungjawab sebagai satu amanah, pengukuran kejayaan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan bukan berbilion ringgit digondolnya,” kata beliau.

Anwar berkata, sepanjang setahun pemerintahan, beliau tidak pernah mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri dan keputusan Badan Kehakiman.

“Sebab itu saya memberi laluan penuh kepada SPRM. Saya tidak memberi arahan untuk menangkap individu A. Menggeledah rumah individu B. Saya beri arahan umum. Hendak selamatkan negara mesti cari jerung besar. Beri satu pengajaran supaya hal ini tidak berlaku lagi,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast