Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Fenomena El Nino yang sedang melanda negara khususnya di bahagian utara Semenanjung mengakibatkan sembilan kawasan sekitar Pulau Langkawi berdepan gangguan ketidakcukupan sumber air mentah untuk diproses.

Antara kawasan yang terjejas adalah Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Cenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.

Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dalam satu kenyataan berkata, fenomena El Nino telah mengakibatkan paras Sungai Melaka di Pulau Langkawi semakin menyusut.

Jelasnya, ia secara tidak langsung memberi kesukaran kepada SADA untuk memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat oleh pengguna terutamanya semasa musim cuti perayaan dan persekolahan.

“Ketika ini, produksi pengeluaran semua Loji Rawatan Air (LRA) SADA di Pulau Langkawi menunjukkan trend penurunan dan dijangka akan terus berlarutan sehingga paras Sungai Melaka kembali normal.

“Pertambahan lokasi kebocoran paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air terawat ke Pulau Langkawi dari LRA Sungai Baru turut memberi kesan kepada pengagihan air terawat kepada pengguna,” katanya.

Sehubungan itu, SADA menasihatkan pengguna di Pulau Langkawi supaya berhemah dalam menggunakan bekalan air ketika melakukan aktiviti harian khususnya sepanjang musim kemarau yang dijangka berlanjutan ini bagi menjamin bekalan air terawat dapat disalurkan secara berterusan tanpa gangguan.

Sebarang aduan atau pertanyaan, para pengguna boleh menghubungi talian hotline di 1300 88 0017 dan Bilik Gerakan Langkawi di 04 961 0546.

“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook dan TikTok Syarikat Air Darul Aman serta laman sesawang rasmi SADA di www.sada.com.my,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast