isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa ada pihak yang tidak mahu melihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat pengampunan penuh.

Menurut Mohd. Puad, kegagalan Najib yang disifatkan sebagai senjata kebangkitan UMNO diberikan pengampunan penuh memberi kegembiraan kepada banyak pihak

“Najib gagal dapat pengampunan penuh. Ia amat melukakan. Orang lain boleh, dia tidak boleh. Ada yang mahu ia tidak dibolehkan.

“Banyak pihak akan berpesta. Najib adalah ‘wow’ faktor pemulihan UMNO. Kini senjata kebangkitan UMNO ditumpulkan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Puad menegaskan, hukuman kepada Najib tidak akan memberi kesan kepada mereka yang setia kepada bekas Presiden UMNO itu.

“Najib mesti kembali aktif memberi idea dan kritikan dalam isu ekonom dan kesejahteraan rakyat. Fizikal terkurung tetapi pemikirannya tidak.

“Buatlah apa sahaja kepada Najib, yang setia tetap bersama. Kifarah tidak akan salah alamat,” kata Mohd. Puad.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata, Najib dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028.

Jumlah denda turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta dan sekiranya tidak dibayar tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun.

Lembaga Pengampunan itu memaklumkan, pihaknya telah bersidang pada 29 Januari lalu dan sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan.

Persidangan itu dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Puad UMNO ni semakin parah sakit otaknya. Jika Zahid Hamidi dan Anwar Ibrahim termasuk DAP sekalipun mahukan Najib diampuni kes jenayah terbesar didunia itu maka keputusannya adalah budibicara YDPA. Semua rakyat Malaysia perlu taat dan setia kepada YDPA sebagai Ketua Negara.
    Harap Puad dapat bertenang dan banyakkan waktu berehat serta ambil ubat ikuti nasihat doktor jika perlu.

Comments are closed.