Ruslin Jusoh

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai 131 orang tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari Depot Tahanan Sementara Imigresen di Bidor, Perak semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan merangkumi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh pegawai dan anggota bertugas.

“Kami juga akan mengkaji semula SOP sedia ada dan menambah baik kelemahan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.30 malam semalam, tahanan di depot tersebut merempuh jeriji besi beramai-ramai sebelum menyerang 14 pegawai JIM dan 28 anggota Pasukan Sukarelawan (Rela) dengan membaling batu ke arah mereka.

Tahanan terbabit melarikan diri menerusi pagar depot dan memasuki ladang kelapa sawit yang terletak kira-kira  500 meter dari depot berkenaan yang menuju ke Lebuhraya Utara Selatan kira-kira dua kilometer dari situ.

Sementara itu, Ruslin berkata, pihaknya akan mempertimbangkan dalam laporan yang bakal diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk mencadangkan anggota JIM dibekalkan dengan senjata api bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Tambah beliau, ketika kejadian anggota JIM tidak mempunyai senjata api, seperti mana SOP yang dilaksanakan ketika ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast