Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rancangan seorang lelaki cuba melarikan diri selepas membunuh kenalan rapatnya gagal apabila beliau diberkas polis di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan Norhisham Mustapar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pergaduhan dua lelaki di belakang sebuah restoran di Jalan Peel, di sini, pada jam 3.20 pagi semalam.

“Siasatan awal polis mendapati pertengkaran dipercayai berlaku antara kedua-dua rakan kenalan itu sebelum suspek bertindak mengambil serpihan kaca lampu dan menikam leher mangsa sehingga menyebabkan mangsa parah.

“Suspek yang dipercayai panik terus membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Norhisham, mangsa yang berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital tersebut.

Tambah beliau, selepas menyedari rakannya meninggal dunia akibat perbuatannya, suspek yang berusia 28 tahun melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju bersama Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Kuala Lumpur telah menerima maklumat tentang keberadaan suspek yang dikesan cuba melarikan diri menerusi pintu udara.

“Pasukan polis telah bergegas ke Terminal 2 KLIA sebelum berjaya menangkap suspek pada hari sama jam lebih kurang 2.30 petang di balai pelepasan lapangan terbang itu ketika cuba meloloskan diri,” ujar beliau.

Norhisham berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek kini ditahan reman selama enam hari sehingga 7 Februari ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-
2115 9999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette