Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas hadir bagi dua kes menyebut perkataan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 JANUARI 2024.

SELAYANG – Mahkamah Sesyen hari ini melapangkan 12 tarikh perbicaraan bagi dua pertuduhan kes menyebut perkataan menghasut membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Hakim, Nor Rajiah Mat Zin membuat membuat keputusan tersebut berdasarkan perkembangan terbaru Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang membenarkan permohonan Sanusi untuk memindahkan perbicaraan.

Tarikh tersebut ialah pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac.-

“Memandangkan pada 1 Februari Mahkamah Shah Alam telah  membenarkan notis usul pemohon untuk memindahkan kedua-dua kes ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, jadi permohonan pemohon untuk penggantungan prosiding di Mahkamah Selayang telah menjadi akedemik oleh itu tiada keputusan diberikan bagi permohonan ini. Berdasarkan perintah semua tarikh dilapangkan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berkata, pasukannya menunggu tarikh baru daripada Mahkamah Tinggi susulan perkembangan tersebut.

“Hari ini sepatutnya keputusan permohonan lapangkan tarikh tapi kes ini telah jadi akademik apabila Mahkamah Tinggi semalam benarkan kes ini dipindahkan,” katanya.

Peguam bela mewakili Menteri Besar Kedah itu Mohd Tajuddin Abd Razak juga sependapat.

“Kami memohon tarikh bicara dilapangkan untuk kami menunggu tarikh baharu selepas keputusan semalam,” katanya lagi.

Untuk rekod, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada 11 malam, 11 Julai tahun lepas.

Dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Menteri Besar Kedah itu  untuk memindahkan perbicaraan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhammad Sanusi, 50, selaku pemohon untuk memindahkan kes berkenaan.

Pada 11 Jan lalu, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Alasan permohonan dibuat ialah perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Pada 24 Januari lalu, pihak pendakwaan turut membantah permohonan Menteri Besar Kedah itu untuk memindahkan kes hasutan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi di sini memandangkan kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, berkata kes itu juga tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti didakwa pihak pemohon. – MalaysiaGazette