Datuk Seri Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR – Keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang tidak memberikan pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta.

Sebaliknya Najib hanya diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya ketika ini.

Najib Razak ketika hadir bersama anaknya, Nooryana Najwa (dua kanan) bagi menghadiri perbicaraan kes 1MDB sebelum mendengar keputusan kes SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 NOVEMBER 2019.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berkata, keluarganya kekal dengan pendirian bahawa ayahnya tidak bersalah.

“Walaupun kami hargai pengurangan hukuman 12 tahun kepada 6 tahun setelah pertimbangan dan nasihat, kami kecewa kerana Datuk Seri Najib tidak dapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta.

“Mereka yang ikuti kes SRC secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lepas bahawa ketidakadilan yang besar telah berlaku ke atas Datuk Seri Najib.

“Keputusan yang betul adalah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan,” katanya menerusi laman media sosial, Instagram, hari ini.

Lembaga Pengampunan hari ini memendekkan hukuman penjara terhadap bekas Presiden UMNO itu kepada enam tahun dan tarikh beliau dibebaskan adalah pada 23 Ogos 2028.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu turut mengurangkan denda kepada RM50 juta daripada RM210 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berkata, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Teruk mentality keluarga Najib ni, tidak reti bahasa dan biadap. Semua pertimbangan Majlis Pengampunan adalah keputusan akhir YDPA perlu ditaati sebagaimana arahan YDPA tertubuhnya kerajaan Anwar Ibrahim.
    DAP PKR PAN dan Zahid Hamidi perlu buat report Polis terhadap keluarga Najib yang menderhaka itu.
    Keluarga Najib tidak perlu mengheret isu-isu SRC oleh kenyataan Hakim sebelum ini. Najib perlu menjalani BICARA sehingga selesai seperti kenyataan Najib pada awal penangkapannya sebagai penjenayah terbesar didunia. Janganlah nak disamakan dengan kes Zahid Hamidi kerana beliau hanya sebagai mangsa pertuduhan sahaja disebabkan itu Ketua Hakim layak menghentikan untuk perbicaraan yang membazir.
    Pasti Anwar Ibrahim juga AMAT MENGETAHUI jenayah Najib perlu dibicarakan kerana Anwar Ibrahim diketahui AMAT SUKAR mencampuri urusan mempengaruhi atau campurtangan agensi perundangan.

Comments are closed.