BUKIT MERTAJAM – Lima anggota polis ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan peras ugut RM4,500 daripada seorang pekerja kilang dalam kejadian di Jalan Permatang Tinggi di sini, pada Khamis lalu.
Perintah reman terhadap lima anggota polis sehingga 6 Februari itu dikeluarkan Majistret Nurul Rashidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Mereka yang direman terdiri daripada seorang sarjan berusia 48 tahun serta dua koperal berumur 35 dan 38 tahun.
Turut direman masing-masing dua Lans Koperal berusia 24 dan 30 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan Polis Pulau Pinang menahan lima anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) selepas dipercayai terlibat dalam kes peras seorang pekerja kilang.
Mangsa berusia 27 tahun itu ditahan sebelum didakwa terdapat dadah dalam kereta dinaiki mangsa.
Bagi mengelak mangsa ditahan atas kesalahan dadah anggota polis tersebut dipercayai meminta wang RM10,000 namun mangsa hanya menyerahkan RM4,500.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin menegaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
“Kita tidak akan berkompromi dengan pegawai atau anggota yang terlibat dalam kegiatan jenayah, dadah serta rasuah.
“Tindakan tegas menanti mereka sekiranya didapati bersalah,” katanya. – MalaysiaGazette