Dr Muhammad Akmal Saleh

MELAKA – Pemuda UMNO akan membuat laporan polis terhadap kebiadapan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung tindakannya menyindir keputusan Lembaga Pengampunan mengenai pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, laporan terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP itu akan dilakukan Pemuda UMNO di seluruh negara.

“Insya Allah laporan polis terhadap Tony Pua akan dilakukan seluruh negara oleh Pemuda UMNO atas kebiadapan dia mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

See you in court a**hole,” tulisnya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut membidas kenyataan dikeluarkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengkritik isu sama.

Ia selepas gabungan itu menyifatkan jangan ada ‘jalan pintas’ bagi ahli politik yang disabit bersalah kerana ia memberi kesan besar kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Bila (Datuk Seri) Anwar Ibrahim diberikan pengampunan dulu langsung tak berbunyi pula ya.

“Bab kena kat (di) muka sendiri boleh, bab orang lain tak boleh. Pirah mabuklah BERSIH!!!,” tegasnya.

Sebelum ini, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya.

Selain itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan urusetia lembaga berkenaan, jumlah denda juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast