ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Polis menahan 12 lelaki kerana disyaki terlibat membakar mercun di atas jalan raya sambil menghalang lalu lintas di sekitar Kayu Ara, Petaling Jaya, seperti yang tular di laman sosial kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 68 tahun itu ditahan di Kampung Sungai Kayu Ara, malam kelmarin.

Menurutnya, kesemua individu terbabit ditahan setelah polis mengesan video berdurasi 22 saat yang memaparkan kejadian membakar mercun itu.

Video berkenaan turut memaparkan beberapa konvoi motosikal mengiringi sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire putih yang menggantung lambang berunsur ‘gangsterisme’.

“Hasil siasatan awal mendapati, hantaran tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun Media Hutan di Facebook pada 2 petang semalam. Kejadian dipercayai berlaku di Kayu Ara, Petaling Jaya pada tarikh dan masa yang belum dipastikan lagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna putih dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966. – MalaysiaGazette