KUALA LUMPUR – Semua ahli politik diminta berhenti daripada terus mempertikaikan keputusan Lembaga Pengampunan berhubung pengurangan hukuman penjara dan ke atas Datuk Seri Najib Razak.
Ia kerana keputusan itu dibuat atas kuasa mutlak Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menjadi Yang di-Pertuan Agong dan pengampunan itu juga tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Ahli Lembaga Pengampunan, Dr Teo Kok Seong berkata, tindakan ahli-ahli politik yang berterusan memberi kenyataan berhubung keputusan itu memperlihatkan mereka tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi lambang pemimpin tertinggi di Malaysia.
“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa mutlak untuk memberi pengampunan atau pengurangan hukuman ke atas banduan.
“Perkara ini termaktub dalam Perlembagaan. Jadi kenapa hendak komen, ulas dan pertikaikan keputusan baginda. Tahukah bahawa anda tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Ahli sarjana ini menambah, tidak ada peliknya jika Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman penjara dan denda kepada Najib, cuma pengampunan bekas perdana menteri itu dibesar-besarkan kerana beliau ahli politik negara.
“Itu sahaja dan saya nampak pengurangan hukuman Najib dibesar-besarkan oleh ahli-ahli politik sehingga mempersoalkan kuasa Agong. Kenapa jadi macam tu?
“Betul la kes Najib berprofail tinggi kerana dia ahli politik tetapi ada kesalahan yang lebih besar pernah diampunkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang jauh lebih besar dan dahsyat. Tetapi apabila banduan ini diampunkan tiada siapa tahu.
“Kepada ahli-ahli politik saya hendak beritahu, kita kena ambil iktibar bahawa (dapat pengampunan) adalah kuasa tuhan yang menentukan semuanya. Lembaga Pengampunan hanya sebagai pihak yang memudahcara.,” ujar Kok Seong lagi sambil menambah isu keputusan pengurangan hukuman Najib menjadi kecoh disebabkan tindakan segelintir menteri Kerajaan Perpaduan.
Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini kepada MalaysiaGazette, Kok Seong proses pengampunan sepatutnya dijalankan secara rahsia tetapi perkara itu tidak ‘disimpan’ dengan baik.
Tegasnya, setiap urusan rasmi kerajaan seharusnya sulit dan ia sepatutnya menjadi pegangan oleh setiap anggota kerajaan termasuk anggota Kabinet dan penjawat awam.
“Apabila ada menteri yang menjawab (tentang pengampunan Najib), ada pula yang memberi bayangan, juga ada yang nak selit-selit kenyataan, beginilah jadinya.
“Rakyat tak tahu, yang tahu hanya mereka yang terlibat dengan Lembaga Pengampunan. Apabila ada pihak yang keluar kenyataan seolah-oleh memberi petunjuk benda yang sulit, memang terbongkarlah pada masa yang tidak sepatutnya,” tambahnya lagi.
Oleh itu, beliau berharap kejadian ini tidak berulang lagi dan meminta pihak yang mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong supaya membaca dan meneliti semula Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette