Sebahagian daripada 131 lelaki warga dari Myammar termasuk etnik Rohingya yang merusuh dan meloloskan diri dari Blok Lelaki Depot Imigresen Sementara Bidor, ditemui sekitar jam 3:30 petang tadi, berhampiran perkampungan Orang Asli Sanding. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 02 FEBRUARI 2024.

TAPAH – Baki 91 lagi pendatang tanpa izin (PATI) termasuk etnik Rohingya yang meloloskan diri Depot Imigresen Sementara Bidor, Khamis lalu masih berada di dalam hutan sekitar Tapah dan Bidor.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, setakat semalam seramai 39 pati terdiri daripada 37 etnik Rohingya dan dua warga Bangladesh berjaya ditahan.

“Kesemua tangkapan dibuat oleh gerakan pencarian polis dan juga hasil maklumat orang ramai dan kami percaya ke semua yang melarikan diri masih berada di hutan serta kampung sekitar kawasan Tapah dan Bidor.

“Polis Perak ingin menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang akan menyukarkan lagi situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri turut menyeru orang ramai segera menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222 sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan PATI yang melarikan diri.

“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Noor Irwan Abd Ghani dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah di talian 017-3168097,” katanya.

MG Perak pada Khamis melaporkan 131 PATI berjaya meloloskan diri dari blok lelaki depot itu dengan seorang daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya. – MalaysiaGazette