DOHA – Juara bertahan Qatar berdepan detik sukar sebelum mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Asia 2023, menerusi penentuan penalti 3-2 ketika bertemu Uzbekistan pada aksi suku akhir di Stadium Al Bayt di Al Khor malam ini (awal pagi waktu Malaysia).

Perlawanan berlanjutan sehingga 120 minit, selepas kedudukan terikat 1-1.

Jaringan sendiri penjaga gol Utkir Yusupov pada separuh masa pertama, menyaksikan Qatar mendahului perlawanan dan Odoljon Xamrobekov menyamakan kedudukan buat Uzbekistan pada babak kedua, sebelum perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan dan penentuan penalti.

Pada penentuan penalti yang mendebarkan, Meshaal Barsham muncul wira Qatar apabila menyelamatkan tiga sepakan oleh Rustamjon Ashurmatov, Zafarmurod Abdirakhmatov dan ketua pasukan Jaloliddin Masharipov, selepas Otabek Shukurov dan Shokhboz Umarov mudah menemui sasaran.

Pedro Correia menjaringkan penalti kemenangan untuk mengesahkan kejayaan skuad The Maroons, selepas Akram Afif dan Sultan Al-Brake, masing-masing tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan, tatkala tendangan Almoez Ali diselamatkan dan rembatan Almhadi Ali Mukhtar pula melambung tinggi.

Di pentas separuh akhir Rabu depan, Qatar akan membuat perhitungan dengan juara tiga kali Iran, yang menyingkirkan Jepun 2-1 dalam satu lagi perlawanan suku akhir, petang tadi.

Pada aksi malam ini, Qatar bimbingan Bartolome Marquez bermula garang menerusi rembatan padu dari jarak dekat Afif, selepas berjaya menembusi benteng pertahanan lawan, namun percubannya pada minit ke-11 itu, gagal menewaskan Yusupov di gawang.

Asakan demi asakan dilakukan Qatar akhirnya membuahkan hasil, apabila satu gerakan dari sebelah kanan menyaksikan hantaran lintang kapten Hasan Al Haydos terkena Ashurmatov, sebelum Yusupov tertampan bola ke gawang untuk membolehkan lawan mendahului 1-0 pada minit ke-27.

Uzbekistan bimbingan Srecko Katanec terlepas untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan Otabek Shukurov melambung tinggi pada minit ke-31.

Lima minit kemudian, pemain pertahanan Qatar Mohammed Waad Albayati melakukan halangan yang baik, untuk menafikan gol penyamaan Uzkekistan menerusi rembatan Azizbek Turgunboev dari jarak dekat, selepas menerima hantaran lintang dari sebelah kiri Oston Urunov.

Kedudukan 1-0 berpihak pasukan tuan rumah, sebelum Uzbekistan bangkit dengan persembahan terpuji pada separuh masa kedua, menyaksikan Meshaal Barsham dipaksa bekerja keras menyelamatkan tandukan Shukurov dan rembatan Masharipov, masing-masing pada minit ke-48.

Namun, Uzbekistan berjaya mencetak gol yang dicari apabila rembatan kaki kiri Xamrobekov dari dalam kotak penalti, gagal diselamatkan Barsham pada minit ke-59, sekali gus menyaksikan gol itu meniupkan semangat pasukannya dalam memburu kemenangan.

Kedua-dua pasukan kemudian buntu mencipta jaringan kemenangan dalam tempoh permainan sebenar, dengan peluang terbaik hadir menerusi rembatan lencong Afif dari sebelah kiri, yang sedikit tersasar di kanan gawang pada minit ke-10 tambahan masa babak kedua.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat masa tambahan 30 minit yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast