KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan dua lagi pemain import akan menyertai pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
TMJ berkata demikian menerusi komen di laman media sosial rasmi kelab selepas pasukan itu mengumumkan ketibaan bekas pemain Napoli dan Buriram United, Nicolao Dumitru Cardoso baru-baru ini.
Penyertaan pemain tersebut menjadikan kini JDT telah pun menandatangani empat pemain import baharu mereka.
“Ada lagi dua pemain. Seorang akan sampai pada bulan Jun,” katanya yang mesra dengan gelaran TMJ.
Bagaimanapun, baginda tidak mendedahkan nama pemain yang akan menyertai kelabnya pada jendela perpindahan pertama dan kedua musim ini.
Nicalao yang merupakan pemain kelahiran Sweden itu menghabiskan banyak musim di Itali sebelum menyertai Nottingham Forest di England pada musim 2016/2017.
Nicolao buat pertama kali beraksi di Asia pada musim 2021 untuk menyertai saingan liga di Korea Selatan bersama Suwon Bluewings sebelum menyertai Buriram United pada musim lalu dalam aksi Thai League 1.
Sepanjang bersama Buriram United, Nicolao telah pun diberi peluang beraksi sebanyak sembilan perlawanan dan mencatat satu jaringan sahaja buat pasukan tersebut.
Bersama skuad kebangsaan Itali B-20, pemain sayap lincah itu telah beraksi sebanyak sembilan kali serta merekodkan dua jaringan secara keseluruhan.
Sementara itu, salah seorang pemain baharu Nicayang menjadi pilihan JDT dikatakan ialah tonggak tengah skuad kebangsaan, Nooa Laine di mana TMJ pernah menjelaskan pasukannya akan menandatangani pemain itu pada musim akan datang.
Sebelum ini, JDT sudah mengumumkan ketibaan dua pemain import antaranya pemain tengah Syria, Jalil Elias dan Francisco Geraldes.
Dua pemain ini bermakna skuad kendalian Hector Bidoglio itu mempunyai dua pemain import paling mahal dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Berdasarkan laman Transfermarkt, nilai pasaran Geraldes berharga 2.5 juta Euro (RM12.72 juta) sekali gus berada di tangga kedua pemain paling mahal Liga Malaysia selepas Jalil yang bernilai RM15.2 juta.
Nilai dua pemain itu jauh mengatasi pertahanan JDT iaitu kapten skuad kebangsaan Indonesia, Jordi Amat yang mana pemain itu mempunyai nilai pasaran sebesar €800,000 atau sekitar RM4 juta.
Arif Aiman menjadi pemain tempatan termahal dalam skuad kendalian Hector Bidoglio dimana pemain berusia 21 tahun itu mempunyai nilai pasaran sebesar €550,000 atau sekitar RM2.8 juta. – MalaysiaGazette