Anggota polis cedera parah selepas dilanggar sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini, malam tadi. Foto ihsan Polis Perak

IPOH – Seorang anggota polis patah tulang rusuk dan bahu selepas terlibat dalam kejadian langgar lari sewaktu menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal di Jalan Tanjung Rambutan – Chemor, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima laporan berhubung insiden itu sekitar 7.30 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa bersama rakan setugasnya sedang bertugas melakukan rondaan menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.

“Pemandu kereta tersebut bertindak mengundurkan kereta dan melanggar motosikal mangsa berusia 34 tahun itu sehingga menyebabkannya terjatuh.

“Selepas melanggar mangsa, suspek kemudiannya menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi hingga melanggar mangsa untuk kali kedua,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata, suspek kemudiannya bertindak memecut keretanya meninggalkan tempat kejadian dan menghala ke arah Tanah Hitam.

“Akibat daripada impak pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan tidak dapat bergerak. Pemeriksaan awal oleh pihak hospital mendapati mangsa mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu,” jelasnya.

Mohd Yusri berkata, susulan kejadian itu, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun.

Polis kini sedang menjalankan siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan jenayah IPD Ipoh, Asisten Superintendan Norazlina Rais Ahmad di talian 013-628 2176 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette