Tiga sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Muar atas tuduhan mengedar dadah bernilai lebih RM2 juta hari ini.

MUAR – Tiga sekawan berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar di sini hari ini atas pertuduhan bersama mengedar dadah bernilai lebih RM2 juta pada bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Tertuduh ialah Muhammad Amirul Azha Roslan, 31, Muhammad Nazry Iskandar Abdullah, 27, dan Mahathir Hamzi Sabaruddin, 24, hanya  mengangguk tanda faham sewaktu pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Fatin Dalilah Khalid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiganya mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 82, 866 gram di sebuah rumah di Sungai Balang Darat, Jalan Muar-Batu Pahat, kira-kira pukul 6.45 petang 24 Januari lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 (B)  (1) kurungan ( a)  Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki.

Manakala kesemua tertuduh  tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – MalaysiaGazette