Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminda pernyataan dalam tuntutan saman fitnah RM150 juta terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zaharah Hussein hari ini membenarkan Dr Mahathir untuk meminda pernyataan bagi tujuan memasukkan kenyataan yang telah dibuat oleh Anwar yang juga Presiden PKR selepas surat tuntutan saman dikeluarkan.

Menurut peguam bekas Perdana Menteri itu, Rafique Rashid Ali, hakim memerintahkan pihaknya untuk memfailkan pindaan pernyataan itu sebelum 7 Mac depan.

Rafique Rashid berkata, hanya selepas itu Anwar akan memfailkan pembelaan pada 18 Mac sebelum anak guamnya failkan jawapan sebelum 1 April.

Pengurusan kes ditetapkan pada 17 April ini.

Dr Mahathir menyaman Anwar atas kenyataan yang dibuat pada Kongres PKR pada 18 Mac yang menggelarnya sebagai rasis dan mengatakan memperkayakan keluarganya ketika memegang jawatan.

Dakwa Dr Mahathir, kenyataan Anwar dibuat atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri sebenarnya mempunyai kesan lebih teruk terhadapnya berbanding kenyataan sama yang dibuat rakyat biasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast