Pegawai kanan polis parah manakala anak perempuan berusia enam tahun maut setelah motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di MRR2 pagi tadi. - Gambarihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan polis parah manakala anak perempuan berusia enam tahun maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebvuha kereta di Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nahas jalan raya itu pukul 8.50 pagi.

Kemalangan itu melibatkan kenderaan motosikal jenis Honda dan kereta Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Mitsubishi Xpander.

“Siasatan awal polis mendapati semasa kejadian pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintendan berusia 42 tahun yang bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Cheras sedang dalam perjalanan dari arah Sungai Besi ke Cheras untuk menghantar anak perempuannya ke tadika.

“Kemalangan berlaku semasa kereta Mitsubishi Xpander sedang bergerak lurus di lorong paling kiri sebelum sampai ke tempat kejadian telah dilanggar dari belakang oleh motosikal berkenaan.

“Akibat daripada perlanggaran itu, penunggang motosikal bersama anak perempuan terjatuh atas jalan di lorong yang sama dan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keadaan motosikal dinaiki pegawai kanan polis selepas terlibat dalam kemalangan dan parah manakala anak perempuannya maut dalam nahas jalan di MRR2 di kawasan Sungai Besi pagi tadi. Ihsan JSPT KL

Tambah Sarifudin, kedua-dua mangsa nahas telah dikejarkan ke wad kecemasan Hospital Cancelor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pembonceng motosikal itu iaitu kanak-kanak perempuan itu telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan semasa menerima rawatan.

“Manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan parah patah tangan kanan dan tangan kiri manakala pemandu kereta seorang wanita berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,” katanya.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast