KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) menganjurkan Program Kasih Prihatin Warga ATM Negeri Sembilan bagi meringankan beban golongan.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, program tersebut dalam masa yang sama diadakan bagi menggalakkan penabungan bagi tujuan pendidikan.

Menurut beliau, sebanyak RM33,500 sumbangan zakat PTPTN dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan kotak makanan berupa barangan keperluan harian disalurkan menerusi program berkenaan.

“Seramai 250 orang pelajar melibatkan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Kem Syed Sirajuddin, Sekolah Kebangsaan Si Rusa dan Sekolah Kebangsaan Sungala menerima RM100.00 bagi setiap pelajar dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

“Pada majlis yang sama, PTPTN turut memberikan sumbangan kotak makanan kepada 80 orang penerima asnaf daripada anggota ATM dan lima orang penerima asnaf daripada warga veteran ATM,” katanya.

Yayasan LTAT juga memberikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime sebanyak RM50 kepada pelajar yang sama menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima oleh setiap pelajar ialah RM150.

Jelas Norliza, program berkenaan diyakini akan dapat memberi manfaat kepada warga dan veteren ATM dalam membantu meringankan beban kewangan sekali gus membudayakan amalan penabungan melalui Simpan SSPN.

“PTPTN akan terus komited melaksanakan program-program CSR terutamanya
dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu,” tambah beliau lagi.

Terdahulu Yayasan LTAT telah memberikan sumbangan kepada anak-anak
warga ATM dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime.

Ia melibatkan seramai 65 pelajar lepasan SPM dengan sumbangan sebanyak RM1,000 setiap seorang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Selain itu, yayasan itu turut memberikan sumbangan kepada 275 orang anak-anak warga ATM yang cemerlang dalam SPM 2022 sebanyak RM1,500 setiap seorang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM477,500.- MalaysiaGazette