Saksi bagi perbicaraan 1MDB, Nur Aida Ariffin tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 5 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-49 dalam prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuti sakit hari ini.

Bagaimanapun Hakim, Datuk Collin Lawrence memerintahkan doktor yang telah memberikan surat sakit (MC) supaya hadir memberikan penjelasan kepada Mahkamah Tinggi di sini berkaitan perkara itu.

Ini kerana sijil MC yang dikemukakan oleh saksi, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin didapati bercanggah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menjelaskan, terdapat dua versi iaitu yang pertama menyatakan ia tidak sah untuk digunakan bagi ketidakhadiran prosiding di mahkamah dan versi kedua pula tiada perkataan ‘berkenaan’.

Berikutan perkara itu, hakim telah memohon supaya doktor yang memberikan sijil sakit itu datang sendiri dan menjelaskan kepada mahkamah.

Sebelum itu, pendakwaan ada memohon supaya perbicaraan hari ini dan esok ditangguhkan memandangkan tiada saksi lain yang bersedia untuk memberikan keterangan.

Prosiding ditangguhkan bagi menunggu doktor hadir memberikan penjelasan berhubung surat sakit berkenaan.

Difahamkan saksi itu mendapat surat sakit selama dua hari bermula hari ini dan esok.

Ketika ini, Najib yang juga bekas Presiden UMNO sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. – MalaysiaGazette