KUALA LUMPUR – Kes tuntutan saman Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan terhadap Mohd. Shukri Shamsudin selesai dengan menyatakan permohonan maaf dalam mahkamah hari ini.
Wan Saiful menerima permohonan maaf Shukri yang mengakui beliau membuat tuduhan palsu terhadap dirinya dalam satu video yang tersebar kepada orang ramai.
“Biasanya dalam kes sebegini, saya juga boleh menuntut pampasan tunai tetapi apabila Shukri menyatakan beliau tidak mempunyai kemampuan kewangan, saya bersimpati dan bersetuju untuk tidak membuat tuntutan pampasan.
“Shukri ada menyatakan ucapan terima kasih kepada saya semasa dalam mahkamah tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 9 Ogos tahun lalu, Wan Saiful memfailkan tuntutan saman terhadap Shukri atas dakwaan menipu dan memfitnahnya dalam media sosial.
Wan Saiful dalam pada itu memberikan amaran kepada mana-mana individu agar tidak memfitnah beliau dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang yang sama sekiranya ada sesiapa yang cuba mencemarkan nama baik beliau.
“Kepada semua yang di luar sana, agar kita sama-sama berusaha mewujudkan satu budaya politik yang lebih bermaruah dan berakhlak. Mungkin masih ada beberapa individu yang ada sejarah atau dendam lama yang belum selesai.
“Kadang-kadang kita generasi baru politik pun ada yang tersepit dalam dendam lama, dan kita jadi mangsanya. Tapi janganlah kita sebagai generasi baru dalam politik Malaysia terikut-ikut, apatah lagi menjadi jurucakap kepada kepada mereka yang mengamalkan politik lama,” katanya lagi.
Untuk rekod pada 13 Julai tahun lalu, Wan Saiful membuat laporan polis terhadap individu tersebut yang didakwa menggunakan media sosial TikTok untuk menyebarkan video berdurasi 15 saat yang berunsur fitnah.
Video tersebut sudah dipadamkan oleh individu tersebut namun sebelum dipadamkan bahan berkenaan ditonton sebanyak 244,000 kali, 8,684 tanda suka dan 1,471 komen. – MalaysiaGazette