Datuk Seri Yahaya Othman menunjukkan hasi; rampasan dadah syabu, pil yaba dan heroin bernilai RM 543,559 dalam dua operasi khas bagi melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di Kuantan, hari ini

KUANTAN – Polis enam individu, termasuk seorang wanita, kerana disyaki mengedar dadah dalam operasi di daerah Kuantan selama dua hari bermula Ahad lalu.

Dalam operasi tersebut pihak berkuasa itu turut merampas 26 kilogram dadah yang meliputi syabu, pil yaba dan heroin bernilai RM543,559.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam serbuan pada Ahad lalu polis menahan dua orang lelaki dan seorang perempuan berusia antara 38 hingga 51 tahun di Tanjung Lumpur.

Katanya, tangkapan tersebut membawa kepada rampasan dadah jenis syabu seberat 3249.9 gram pil yaba seberat 10.41 kilogram yang dianggarkan bernilai RM438,429.

Tambah beliau, dalam operasi kedua, polis menahan tiga lelaki berusia antara 25 dan 26 tahun antara jam 10 pagi Ahad hingga 12.23 tengah malam Isnin di Indera Mahkota, di sini.

”Hasil serbuan itu sejumlah 12.66 kilogram dadah jenis heroin yang dianggarkan bernilai RM105,130 dirampas,” katanya pada sidang media di IBu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, hari ini.

Menurut Yahaya, saringan awal mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 11 Februari bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette