KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil lebih 20 orang saksi, bagi membantu siasatan melibatkan Spanco Sdn Bhd, sebuah syarikat tunggal yang memegang konsesi membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya juga, tidak menolak kemungkinan untuk memanggil anggota pentadbiran negara sebelum ini yang terlibat dalam penganugerahan kontrak kepada syarikat itu, sekiranya diperlukan.
“Kita akan panggil sesiapa sahaja, malah pembuat keputusan pada masa itu yang memutuskan untuk menganugerahkan projek itu kepada Spanco. Sejarah disebalik bagaimana syarikat itu dianugerahkan dengan kontrak itu merupakan satu daripada perkara dalam siasatan kami.
“(Kita akan panggil saksi) tidak kisah mereka siapa pun, jika ada keperluan, kita akan panggil mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Cakna Rasuah: SPRM bersama media Sarawak, di sini, hari ini.
Azam berkata, siasatan terhadap Spanco Sdn Bhd itu, tidak akan memberi kesan kepada kontrak sedia ada syarikat itu untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan.
“Fokus siasatan kita akan melihat kepada dua aspek, iaitu pertikaian pembatalan kontrak LOI (surat hasrat) dan juga bagaimana syarikat tersebut boleh mendapat kontrak itu sebelum ini. Kontrak sedia ada (untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan) masih on, siasatan tidak akan membatalkan kontrak,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, isu melibatkan kontrak kepada Spanco Sdn Bhd, hanya merugikan negara.
Untuk rekod sejak 1993, Spanco Sdn Bhd memegang konsesi untuk membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan, namun apabila kontrak tamat pada 2019, tender terbuka dilancarkan untuk penganugerahan kontrak seterusnya.
Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd membentuk konsesi dan memperoleh kontrak itu melalui surat hasrat (LOI) pada tahun itu, bagaimanapun, LOI ditamatkan pada 2020 dan tender dianugerahkan kepada Spanco.