PUTRAJAYA – Laporan akhir kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan ini, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa itu sebelum laporan itu dimuktamadkan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, SSPA kemudiannya akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pembentangan dan kelulusan.
“Bila ada masalah tubuh jawatankuasa, masalah tak selesai tubuh koordinasi jawatankuasa.
“Tak selesai juga super koordinasi jawatankuasa. Tak selesai juga jawatankuasa kementerian. Tak cukup Kabinet jawatankuasa dan PM pengerusi, tak selesai juga tukar PM (seloroh).
“Jadi saya tidak buat lagi dah. PM mempengerusikan dan kita muktamadkan saya ingat dalam dua bulan ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum kelulusan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
Mengulas lanjut, Anwar menambah, Bayaran Insentif Awal itu akan dibayar sekali gus pada 23 Februari ini bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal. – MalaysiaGazette