Akmal Rizal. Foto Facebook Penang FC.

KUALA LUMPUR – Pengendali baharu Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengesahkan Harimau Kumbang hanya akan menggunakan khidmat tiga pemain import untuk saingan Liga Malaysia 2024/2025.

Ketika ini, beliau dan barisan kejurulatihan sedang meneliti calon pemain import bagi mengisi posisi tengah dan penyerang memandangkan di bahagian pertahanan pasukan itu sudah memiliki kapten pasukan, Rafael Vitor.

“Ini peluang buat pemain tempatan merebut tempat untuk bersaing dan peluang mereka untuk bermain dalam kesebelasan utama akan lebih cerah.

“(Kualiti) pemain import perlu berkali ganda daripada pemain tempatan,” katanya memetik laporan Stadium Astro.

Skuad Harimau Kumbang menamatkan saingan Liga Super musim lalu pada kedudukan ke-10 dan mara ke suku akhir saingan Piala FA.

“Mereka perlu menjadi inspirasi kepada pemain tempatan contohnya persiapan perlawanan.

“Kami perlu teliti dan tidak silap memilih pemain import yang boleh merugikan pasukan,” katanya.

Kenyataan bakal menggunakan tiga import berkenaan selari dengan petunjuk yang diberikan pengendali berusia 42 tahun itu baru-baru ini.

Menerusi laman X peribadinya, pengendali kelahiran Jitra, Kedah berkenaan memuat naik tiga gambar bendera dari benua Amerika Selatan (Brazil dan Chile) dan Rwanda yang terletak di Afrika Timur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast