Orang awam melihat pilihan makanan menu Rahmah McDonald's yang dijual dengan harga RM5.00 ketika di McDonald's Mutiara Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 08 MAC 2023.

CALIFORNIA – McDonald’s gagal mencapai sasaran jualannya, sebahagiannya disebabkan oleh tindakan pelanggan yang memboikot makanan segera firma itu kerana sokongannya terhadap Israel.

Rangkaian makanan segera itu melaporkan kemerosotan jualan pada suku  pertamanya disebabkan pertumbuhan lemah dalam bahagian perniagaan antarabangsanya.

Kerugian ini adalah kali pertama sejak lebih empat tahun.

Saham dalam McDonald’s jatuh kira-kira 4% kepada AS$285.41 sesaham di Bursa Saham New York. selepas pengumuman itu.

McDonalds adalah salah satu daripada beberapa syarikat Barat termasuk Starbucks dan Coca Cola yang telah menyaksikan boikot dan protes terhadap mereka oleh pejuang anti-Israel.

Firma itu berkata, konflik Israel-Gaza telah “mempengaruhi secara langsung” prestasi di beberapa pasaran luar negara pada suku keempat 2023.

Di cawangan yang merangkumi jualan di Timur Tengah, China dan India, pertumbuhan jualan mencapai 0.7% pada suku keempat 2023 – jauh di bawah jangkaan pasaran.

Perniagaannya di Malaysia, Indonesia dan Perancis juga terjejas, dengan kesan terbesar dirasai di Timur Tengah, kata Ketua Eksekutif Mc Donald’s, Chris Kempczinski.

“Selagi perang ini berterusan… kami tidak menjangkakan akan melihat sebarang peningkatan yang ketara [dalam pasaran ini],” tambahnya.

McDonald’s bergantung pada sistem francais di mana beribu-ribu perniagaan bebas memiliki dan mengendalikan lebih daripada 40,000 cawangannya di seluruh dunia.

Kira-kira 5% daripada cawangannya terletak di Timur Tengah.

Peruncit makanan segera itu mendapat kritikan selepas francaisnya yang berpangkalan di Israel telah memberikan beribu-ribu makanan percuma kepada anggota tentera rejim zionis itu hingga mencetuskan gesaan untuk memboikot jenama itu oleh penduduk dunia yang marah dengan tindakan Israel.

Ia mendorong pemilik francais di negara majoriti Islam seperti Kuwait, Malaysia dan Pakistan mengeluarkan kenyataan menjauhkan diri daripada firma itu.

Namun firma itu mencatatkan jualan kukuh di Amerika Syarikat, dan jualan di United Kingdom, Jerman dan Kanada terys meningkat.

Meskipun begitu, perniagaan di AS menyaksikan pertumbuhan jualan yang lebih lemah daripada yang diharapkan kerana pelanggan berpendapatan rendah memesan lebih sedikit makanan dan memilih item yang lebih murah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast