KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) Suku Tahun Keempat 2023 mencatatkan 115.5 mata pada suku tahun keempat 2023, peningkatan 1.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada suku tahun ketiga 2023.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kebanyakan subsektor merekodkan peningkatan harga pada suku tahun ini.

Subsektor kesenian, hiburan & rekreasi meningkat sebanyak 5.5 peratus (ST3 2023: 0.8%) disumbangkan oleh peningkatan aktiviti perjudian & pertaruhan (6.2%).

Penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman merekodkan kenaikan 3.4 peratus (ST3 2023: 4.6%) disebabkan oleh kenaikan dalam aktiviti perkhidmatan minuman (4.0%) dan restoran & aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (3.8%).

Pada masa yang sama, subsektor lain yang mencatatkan kenaikan adalah pendidikan (1.0%), aktiviti hartanah (0.6%), kesihatan (0.3%) dan profesional (0.2%).

Namun begitu, indeks bagi pengangkutan mencatatkan penurunan negatif 0.5 peratus disebabkan oleh pengangkutan udara penumpang (-2.7%).

Sebaliknya, indeks maklumat & komunikasi kekal tidak berubah.

“Perbandingan suku tahun ke suku tahun menunjukkan IHPRP meningkat perlahan 0.1 peratus berbanding 0.4 peratus yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya.

“Kenaikan ini disumbangkan oleh penginapan dan aktiviti perkhidmatan (0.3%). Pada masa yang sama, kedua-dua subsektor pendidikan dan kesihatan juga merekodkan kenaikan 0.1 peratus.

Sementara itu, indeks profesional dan maklumat & komunikasi kekal tidak berubah. Namun begitu, indeks Pengangkutan mencatatkan penurunan perlahan negatif 0.1 peratus,” katanya.

Mohd Uzir menambah, IHPRP meningkat 2.1 peratus pada 2023, adalah sama seperti tahun sebelum ini.

Selain maklumat & komunikasi yang kekal tiada sebarang perubahan, subsektor lain mencatatkan peningkatan pada 2023.

Penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman meningkat 5.6 peratus, pengangkutan mencatatkan peningkatan 2.9 peratus dan kesenian, hiburan & rekreasi naik 2.3 peratus.

Subsektor lain yang mencatatkan peningkatan adalah pendidikan (1.0%), profesional (0.4%), kesihatan (0.3%) dan aktiviti hartanah (0.2%). – MalaysiaGazette