Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam sekeluarga terlibat dalam kejadian kepada air dengan tiga kanak-kanak dikhuatiri masih hilang di kawasan rekreasi di Jalan Brussel, Kampung Poh, Bidor. Foto JBPM PERAK.

TAPAH – Seorang wanita dewasa maut selepas terlibat dalam kejadian kepala air bersama enam ahli keluarga yang sedang berkelah di Jalan Brussel, Kampung Poh, Bidor, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian sama, dua wanita dewasa dengan salah seorangnya warga Indonesia dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun disahkan selamat sementara tiga kanak-kanak dikhuatiri masih hilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian kepala air berkenaan sekitar pukul 4.03 petang.

Menurutnya, sejurus selepas itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor, BBP Tapah dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Intan diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Wanita yang maut itu ditemukan oleh penduduk kampung pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Justeru, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan termasuk melibatkan operasi pencarian pada permukaan air.

“Situasi semasa keadaan arus sungai masih deras, bagaimanapun hujan telah berhenti,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, operasi turut melibatkan 15 anggota bomba, 22 anggota polis serta dibantu 15 penduduk setempat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast