Kereta suspek yang ditahan mengandungi lebih 4 kg dadah jenis heroin di Genting Sempah. Gambar : PDRM Bentong

KUANTAN – Seorang lelaki diberkas bersama lebih empat kilogram dadah disyaki heroin dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pahang semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Zaiham Mohd Kahar dalam kenyataannya berkata, lelaki tempatan berusia 42 tahun itu ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Bentong ketika sedang berehat di dalam keretanya kira-kira pukul 2.05 petang.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan pihak polis menjumpai satu beg di dalamnya mengandungi 10 paket plastik berisi serbuk dan ketulan berwarna keperangan disyaki dadah jenis heroin,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Zaiham, pihaknya merampas sejumlah 4,565 gram dadah tersebut yang dianggarkan bernilai RM37,889.50 dipercayai boleh digunakan oleh seramai 2,240 orang penagih dadah.

Suspek seterusnya direman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 .

Hasil semakan mendapati suspek memiliki 18 rekod lampau berkaitan dadah masing-masing 10 kes di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan lapan kes mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

Mohd Zaiham memohon kerjasama semua pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti berkaitan dadah di sekitar Bentong untuk menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) IPD Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette