Roslan (tengah) meninjau kaunter Premis Polis Pelancong yang dibuka di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di ibu negara hari ini yang diaktifkan semula.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah mengaktifkan semula operasi Polis Pelancong di ibu negara setelah dihentikan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 pada 2020 berikutan tiada kemasukan pelancong asing.

Ketua Setiausahanya, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, sebagai permulaan seramai 120 polis pelancong meronda di kawasan tumpuan utama dengan berjalan kaki, bermotosikal dan berkereta.

“Kesemua 120 anggota berkenaan telah dipilih setelah diberi kursus dan latihan profesionalisme mengendalikan aduan khususnya tertumpu kepada aspek psikologi menenteramkan pelancong asing yang menjadi mangsa jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Premis Tetap Polis Pelancong di Pusat Pelancongan (MaTiC) di di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Ketua Jabatan Penceghan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Kula Lumpur, Superintendan Rozaiman Hashim.

Khidmat polis pelancong sejak 1998 dan operasinya dihentikan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Roslan, bilangan anggota polis pelancong akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

Tambah beliau, khidmat Polis Pelancong yang diaktifkan pada 2 Oktober lalu itu akan disediakan dengan premis tetap di MaTIC bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari setiap hari, di sini, bagi menerima aduan daripada pelancong.

Katanya, pihaknya turut merancang untuk memperluaskan perkhidmatan Polis Pelancong di Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru pada masa depan.

Sementara itu, Roslan memberitahu, sebanyak 33 kes jenayah membabitkan pelancong asing berkaitan kehilangan barang dilaporkan sejak perkhidmatan Polis Pelancong diaktifkan semula Oktober lalu. РMalaysiaGazette