KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang penjawat awam kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak RM16,000.

Sumber berkata, rasuah tersebut diterima bagi kelulusan pecah bahagian tanah di salah sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini.

“Suspek perempuan berusia lingkungan 40-an dipercayai ditahan kira-kira jam 2 petang semalam di pejabat SPRM cawangan Kuala Selangor ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Suspek dipercayai meminta dan menerima wang rasuah daripada tiga pemilik tanah di sekitar daerah tersebut yang ingin memohon kelulusan pecah bahagian tanah.

“Siasatan awal mendapati suspek meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM16,000 yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi miliknya pada tahun 2022,” katanya.

Majistret Puan Siti Hajar Ali mengeluarkan perintah reman di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, Selangor pagi tadi terhadap suspek tersebut selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Februari depan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim yang dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette