Prof Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin.

BATU PAHAT – Prof Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang baharu.

Menurut kenyataan UTHM, pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir itu bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 Februari 2024 hingga 30 Januari 2026.

“Tujuan pelantikan ini adalah bagi mengisi jawatan yang sebelum ini disandang oleh Prof Dr. Azme Khamis yang telah tamat tempoh lantikannya.

“Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1999 dan memulakan kerjaya sebagai Jurutera Mekanikal di Sharp-Roxy Electronics Corporation (SREC) Sdn. Bhd. Pada tahun yang sama sebelum mula berkhidmat di UTHM pada Ogos 2002,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurutnya, Shahruddin kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di University of Sheffield, United Kingdom (UK) dan memperoleh ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 2007.

Shahruddin juga pernah menjawat sebagai Dekan Pusat Pengajian Siswazah (CGS) dan sebelum itu, sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dari tahun 2015 sehingga tahun 2020.

Selain itu beliau turut menganggotai beberapa badan tempatan dan antarabangsa antaranya Chartered Engineer (CEng) of the Institution of Materials, Mining and Minerals (I-M3), UK dan juga ahli Board of Engineers (BEM) Malaysia.

Sehingga kini, beliau telah mengawasi 11 pelajar PhD, sembilan pelajar sarjana, dan lebih daripada 65 pelajar program sarjana muda. – MalaysiaGazette